Ahad, 26 Februari 2012
SEMINAR NAMA GEOGRAFI
SEMINAR NAMA GEOGRAFI : SEMUA PULAU ADA NAMA MENJELANG JUN
KOTA KINABALU 11 April 2011 - Kesemua 1,388 buah pulau dan entiti geografi termasuk terumbu karang dan batuan di negara ini dijangka dapat dinamakan menjelang Jun ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, pada masa ini hanya terdapat 100 buah pulau dan entiti geografi luar pesisir yang masih belum dinamakan.
"Kesemua pulau dan entiti tersebut belum dapat dinamakan kerana masih menunggu persetujuan daripada kerajaan negeri.
"Sabah, walaupun terdapat paling banyak pulau, namun dengan komitmen kerajaan negeri, kesemua 394 pulau di negeri ini telah diberi nama," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian seminar nama-nama geografi peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Ahmad Fauzi Nordin; Pengarah Jupem, Datuk Mohd. Noor Isa dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Osman Jamal.
Jelas beliau, kebanyakan pulau yang belum diberikan nama itu terletak di Kelantan dan selebihnya di negeri lain seperti Johor dan Perak.
Selain itu, pihak kementerian perlu mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri sebelum dapat mewartakan nama pulau-pulau berkenaan.
"Selepas mendapat pengesahan kerajaan negeri, kementerian saya akan kemukakan kepada Kabinet yang kemudiannya akan membawa perkara itu kepada unit khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Sumber : Utusan Online
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan