Memaparkan catatan dengan label Jerebu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jerebu. Papar semua catatan

Ahad, 22 September 2013

Jerebu: Bukan Sekadar Musibah Sebaliknya Tersembunyi Hikmah

Ditulis oleh Pegawai Penyelidik IKIM. Utusan Malaysia

Serangan jerebu yang melanda Negara sejak tiga minggu lepas seolah-olah mengulangi kembali peristiwa jerebu pada tahun 1997 apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi yang dicatatkan adalah mencecah 750 dan jarak penglihatan yang tinggal adalah kira-kira 50 meter sahaja. Sebagaimana lazim, punca jerebu pada kali ini juga adalah akibat daripada kebakaran ladang dan hutan yang berlaku di negara jiran kita iaitu di Wilayah Riau, Indonesia. Pada kali ini, Singapura juga tidak terkecuali merasai bahang daripada jerebu yang tercetus.

Ancaman jerebu yang berlaku sedikit sebanyak telah membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia dan Singapura kerana sesak nafas dek terpaksa menyedut asap yang dibawa dari negara terbabit. Apatah lagi, akibat daripada jerebu yang telah dicetuskan, ia turut menjejaskan aktiviti seharian yang boleh merugikan kedua-dua negara yang terlibat. Lebih buruk lagi apabila masing-masing saling tuding-menuding menyalahkan antara satu sama lain. Keadaan ini pastinya boleh mengundang berlakunya ketegangan dalam hubungan dua hala antara negara-negara yang terlibat jika tiada langkah sewajarnya diambil untuk membolehkan masalah jerebu diselesaikan dengan baik.

Seharusnya dalam situasi yang berlaku ini, sikap suka menyalahkan antara satu sama lain perlu dielakkan sama sekali. Lebih-lebih lagi pabila ia melibatkan negara serumpun yang pastinya saling memerlukan antara satu sama lain dalam merencana perancangan  pembangunan pada masa hadapan, serta melibatkan negara yang dihuni oleh rakyat yang majoritinya beragama Islam. Sebaliknya, setiap daripada kita perlu memandang musibah yang berlaku dari sudut positif iaitu sebagai ujian daripada Allah SWT yang memberi peluang untuk kita belajar sesuatu bagi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Setidak-tidaknya dengan peringatan dan ujian Allah SWT, ia akan menyedarkan kita daripada terus lalai dan alpa dalam setiap tindak tanduk kita selaku khalifah di atas muka bumi.

Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil, berbuat kebaikan, serta memberi  bantuan kepada kaum kerabat; dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil pelajaran" (Surah an-Nahl, 16: 90).

Sememangnya tidak dinafikan bahawa jerebu yang dialami begitu merimaskan rata-rata kita sehingga telah membantutkan segala percaturan aktiviti yang telah dirancang dan menjejaskan kesihatan segelintir kita. Namun demikian, sebagaimana yang dinukilkan di dalam ayat di atas, setiap musibah yang berlaku pasti mengandungi hikmah yang tersembunyi yang tidak kita sedari. Misalnya, dalam konteks jerebu yang sering rata-rata kita pandang dari sudut negatif sebenarnya terkandung banyak kebaikan yang tersirat disebaliknya.

Antaranya, sesekali apabila diuji dengan jerebu yang menyesakkan nafas, pastinya ia akan menerbitkan rasa syukur yang tidak terhingga dalam diri kita dengan nikmat udara bersih dan segar yang dihirup selama ini. Jika sepanjang kehidupan, kita hanya menyedut udara tanpa pernah memikirkan betapa nikmat udara merupakan anugerah terbesar dalam kehidupan kita, pastinya mulai saat ini kita akan lebih menghargai nikmat udara bersih yang kita kecapi. Apabila timbulnya kesedaran serta keinsafan mengenai perkara ini, pastinya ia dapat mendorong kita supaya lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan tidak sewenang-wenangnya melakukan aktiviti-aktiviti tidak sihat yang boleh mencemarkan udara seperti pembakaran terbuka dan sebagainya.

Seterusnya, pelajaran yang boleh kita ambil daripada dugaan jerebu ini adalah untuk kita muhasabah diri dan merenung kembali setiap perlakuan kita terhadap alam sama ada ia baik atau pun buruk. Sesungguhnya, dalam setiap inci musibah yang berlaku pastinya sedikit sebanyak adalah bertitik tolak daripada kesilapan dan kealpaan kita sendiri. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (Surah ar-Rum, 30: 41).

Justeru, dalam situasi jerebu yang melanda, setiap negara yang terlibat seharusnya tidak beremosi menuding jari sesama sendiri. Sebaliknya, pendekatan yang lebih berhemah perlu diambil agar tidak memburukkan lagi keadaan. Umpamanya, perbincangan perlu dilakukan antara ketiga-tiga negara bagi memperoleh penyelesaian terbaik untuk menghentikan jerebu yang melanda dan mencari jalan
bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada berulang. Ini memandangkan, kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia bukanlah kali pertama. Malah, ia kerap kali berlaku sehingga negara jiran yang lain turut terkesan.

Dengan tercetusnya jerebu, setidak-tidaknya ia membuka ruang untuk setiap negara yang terlibat memikirkan perancangan teliti yang perlu dilaksanakan secara bersama bagi membendung permasalahan ini agar ia tidak menyerang lagi pada masa akan datang. Dalam aspek ini, jika kita memandang sesuatu musibah dari sudut positif, maka pengakhirannya juga akan jadi positif. Dalam erti kata lain, jika ketiga-tiga negara yang terlibat memandang serangan jerebu sebagai suatu ujian yang membuka peluang positif untuk mengeratkan lagi hubungan sesama sendiri, maka pertikaian sama sekali tidak akan berlaku. Malahan, usaha secara bersama dan sikap saling bantu membantu dalam menangani masalah jerebu seperti usaha pembenihan awan dan sebagainya akan lebih merapatkan lagi hubungan sesama negara serumpun.

Dalam menghadapi serangan jerebu, ia merupakan ruang terbaik untuk masing-masing muhasabah diri bahawa kita hanyalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Sebagai manusia biasa pastinya kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Apa yang penting, kita bersedia belajar daripada setiap kesilapan yang lepas untuk menjadi insan yang lebih baik. Oleh yang demikian, sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada ujian jerebu ini dari sudut yang positif yakni tersembunyi hikmah di sebaliknya agar kita mampu melakukan transformasi diri dengan lebih ikhlas. Sesungguhnya, terdapat kebaikan yang sering kita lupa dan abaikan di sebalik setiap musibah yang menimpa.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ada mengaitkan mengenai apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk bagi diri mereka. Manakala, apa yang mereka sangka buruk, maka baik bagi mereka sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui(semua itu), sedangkan kamu tidak mengetahuinya"(Surah al-Baqarah, 2: 216).

Bencana Jerebu Sebagai Tanda Kealpaan Manusia


Ditulis oleh Azrina Binti Sobian. Posted in Berita Harian



Bulan Jun merupakan bulan yang istimewa bagi meraikan alam sekitar kita. Pada 5 Jun 2013, Hari Alam Sekitar Sedunia disambut. Tema sambutan bagi tahun ini ialah "Think, Eat and Save." Tema ini ringkas tapi penuh makna. Namun ironinya, bulan yang penuh makna bagi alam sekitar ini disambut penuh "berjerebu" oleh warga Malaysia. Dalam keadaan ini, elok juga kita meluangkan sedikit masa untuk memikirkan tentang masalah tersebut, seperti mana yang dianjurkan dalam tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini, sebagai satu usaha muhasabah diri.

Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat-ayat yang mengajak manusia untuk berfikir, memerhati serta melakukan pengamatan. Antaranya, di dalam surah ar-Ruum (30), ayat 24; surah ar-Ra'd (13), ayat 3 dan surah al-Jaathiyah (45), ayat 5. Sesungguhnya, akal anugerah Ilahi bukan satu perhiasan tetapi perlu digunakan semaksimum mungkin, apatah lagi menggunakan akal untuk muhasabah diri demi berhadapan dengan bencana alam ketika ini.

Masalah jerebu yang berlaku memberi terlalu banyak pengajaran dan peringatan kepada manusia yang mahu berfikir. Salah satunya adalah tentang sikap manusia. Mereka yang tidak peduli akhirnya menyebabkan kerosakan demi kerosakan kepada alam. Kata orang, "berani buat, beranilah tanggung." Jadi, manusia membakar hutan, maka manusialah yang menanggung akibat tingkah laku jahil tersebut. Ini bertepatan dengan janji Allah SWT bahawa manusia yang melakukan kerosakan, akan merasakan kesan daripada perbuatan tangannya (ar-Rum, 30: 14). Namun malangnya, mereka yang tidak bersalah turut sama "dipaksa menikmati" kesan tersebut.

Selain sikap, masalah jerebu yang berulang-ulang sejak tahun 1997 ini, menunjukkan betapa rendahnya pengetahuan manusia terhadap peranannya di dalam alam yang serba luas ini serta tidak memahami peranan setiap entiti alam yang diciptakan oleh Allah SWT. Sememangnya, perkembangan sains dan teknologi yang pesat telah banyak membantu manusia memahami peranannya serta peranan sumber alam. Namun, kenapa manusia masih mengganggu-gugat persekitarannya? Ini kerana, pengetahuan berdasarkan perkembangan sains dan teknologi tidak dapat menyemarakkan hikmah dan hemah dalam jiwa manusia semasa berinteraksi dengan persekitarannya.

Oleh itu, menyemarakkan hikmah dan hemah dalam diri manusia perlu dengan menambah ilmu agama ke dalam jiwa tersebut. Ini kerana, ilmu agama membuka mata manusia untuk memahami peranannya sebagai khalifah, tanggungjawab atau amanah, menerima konsep keadilan dalam interaksi dengan alam, konsep mizan (kesetaraan), tawazun (keseimbangan), jamal (indah) dan sebagainya. Manusia yang benar-benar faham tentang konsep-konsep ini pasti tidak tergamak melakukan kemusnahan alam kerana dia tahu bahawa tindakannya itu akan disoal dan diperhitungkan di hadapan Yang Maha Esa.

Tidak ketinggalan juga kegagalan manusia memahami konsep pencemaran merentas sempadan. Selalunya, kita hanya melihat kepada masalah-masalah alam sekitar tempatan. Misalnya, masalah sampah, penebangan hutan, tanah runtuh dan sebagainya. Ini merupakan satu pengetahuan yang terhad. Dalam keadaan dunia masa kini, pengetahuan terhadap masalah alam sekitar bersifat global atau merentasi sempadan amat penting dan kritikal. Hakikatnya, kita berkongsi alam ini dengan orang lain, di dalam mahupun di luar negara. Oleh itu, kerosakan sumber alam yang dilakukan di satu tempat akan memberi kesan kepada tempat yang lain, sama ada tempat itu di Malaysia mahupun jauh di negara orang. Oleh itu, ahli masyarakat perlu diberikan kesedaran dan pengetahuan tentang masalah alam sekitar sejagat.

Oleh sebab kita semua berkongsi alam atau bumi yang sama, maka penyelesaian terhadap permasalahan ekologi itu memerlukan kerjasama yang utuh. Dalam banyak keadaan, kita suka menyalahkan orang lain terhadap apa yang terjadi. Memanglah mudah dan mungkin menyeronokkan apabila menuding jari, namun ini tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah malah boleh menimbulkan ketegangan. Masalah jerebu yang melibatkan tiga negara di rantau Asia Tenggara ini perlu diselesaikan dengan semangat setia kawan. Negara-negara dalam rantau ini adalah berjiran dan memuliakan jiran merupakan satu tuntutan dalam Islam. Kesudian untuk bekerjasama juga merupakan satu usaha memuliakan jiran. Jika kita gagal bekerjasama dalam semangat serantau, maka bagaimanakah pula kita hendak bekerjasama dalam menangani permasalahan alam sekitar global misalnya masalah pemanasan dunia?

Penjelasan-penjelasan di atas hanya dapat difahami jika kita mahu berfikir atau bermuhasabah diri dalam menghadapi keadaan persekitaran yang tercemar kini. Apabila berlakunya sesuatu bencana seperti jerebu, kita boleh melihatnya dalam konteks hukuman Allah SWT terhadap manusia yang lalai. Ini mengingatkan kita tentang apa yang diceritakan di dalam surah al-Dukhan (ayat 9-16) tentang kaum Quraisy yang menentang serta memain-mainkan risalah yang dibawa Rasulullah SAW. Akibat kekufuran ini, kaum tersebut ditimpa bencana kemarau yang panjang sehingga mereka melihat asap antara langit dan bumi. Asap itu sungguh tebal hingga menyebabkan mereka tidak nampak rupa paras masing-masing apabila berbicara sesama sendiri. Dalam konteks ini, bencana asap itu merupakan satu hukuman terhadap sikap masyarakat Quraisy yang terus-terusan kufur kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama, bencana yang berlaku itu juga boleh dilihat dari sudut yang lain iaitu untuk menyedarkan dan membangkitkan manusia dari kealpaannya. Hakikatnya, manusia biasa seperti kita semua mudah lupa dan sering melakukan kesilapan. Oleh itu, kita perlu sentiasa diingatkan agar dapat kembali ke jalan yang benar. Oleh itu, perlulah kita berlapang dada menerima dugaan ini dan berusaha ke arah kebaikan.

Walau bagaimanapun, orang tua-tua berkata, apabila kita melakukan satu-satu kesilapan untuk kali pertama, maka itu dikatakan kelemahan diri. Namun, jika kesilapan yang sama diulang berkali-kali, maka itu tanda kebodohan diri. Jadi, jangan biarkan masalah jerebu berulang kembali kerana ini menunjukkan betapa kita berulang-ulang melakukan kesilapan yang sama. Apakah maksudnya di sini? Tepuk dada tanyalah selera!